RSS Feed

MPOB hasil penilaian kitar hidup industri sawit

Posted by Flora Sawita

Kajian LCA tingkatkan kemampanan industri sawit 

INDUSTRI minyak sawit negara bukan sekadar mahu meningkatkan hasil pengeluaran malah turut memberi komitmen jitu terhadap pemantauan/penjagaan alam sekitar supaya setiap aktiviti dalam meningkatkan hasil sawit negara tidak menjejaskan sistem ekologi sedia ada dan akhirnya boleh menyebabkan kemusnahan kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, kumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diketuai Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May, berjaya membangunkan analisis penilaian kitar hidup bermula dari tapak semaian hingga penghasilan dan penggunaan biodiesel sawit.
Antara tujuan utama penilaian kitar hidup ini adalah bagi mengekalkan industri sawit dan daya saing global dalam menghadapi peningkatan kos pengeluaran selain meningkatkan produktiviti serta menunjukkan kemampanan dan komitmen terhadap penyelesaian kesan terhadap alam sekitar. 

Pada 2004, Choo menginisiatifkan kajian Penilaian Kitaran Hidup atau Life Cycle Assessment (LCA) dan pada 2006 kajian dimulakan ke seluruh rantaian pemprosesan termasuk penghasilan biodiesel sawit bagi menyediakan maklumat terkini mengenai penjagaan alam sekitar. 

LCA adalah alat untuk menilai beban alam sekitar yang dikaitkan dengan produk, proses atau aktiviti dengan mengenal pasti dan mengukur tenaga serta bahan digunakan termasuk sisa yang dilepaskan ke alam sekitar. Kajian MPOB ini hanya tertumpu kepada produk minyak sawit Malaysia termasuk biodiesel sawit dari sawit yang ditanam di tanah mineral. 

Kajian LCA dilakukan berdasarkan sub-sistem termasuk aktiviti di tapak semaian sawit, ladang sawit, kilang sawit, kilang isirung sawit, kilang penapisan dan pemeringkatan sawit, loji penghasilan biodiesel dan penggunaan biodiesel sawit dalam kenderaan enjin diesel. 
Kumpulan penyelidik LCA iaitu Dr Halimah Muhamad (tapak semaian sawit), Dr Zulkifli Hashim (ladang sawit), Dr Vijaya Subramaniam (kilang sawit dan kilang isirung sawit), Dr Tan Yew Ai (kilang penapisan dan pemeringkatan sawit) dan Dr Puah Chiew Wei (kilang biodiesel sawit) melakukan penilaian berkenaan yang merangkumi penanaman kelapa sawit di tapak semaian dan ladang sawit; pengekstrakan dan pemprosesan minyak sawit dan bahan isirung sawit, penghasilan biodiesel sawit, pengangkutan, penggunaan biodiesel sawit, kitar semula dan pelupusan akhir. 

Selain itu, kajian LCA berkenaan dilakukan mengikut garis panduan ISO 14040 dan ISO 14044. MPOB berjaya menyiapkan kertas kerja berkaitan LCA industri sawit pada 2010 dengan dibantu pelbagai sektor daripada industri sawit dalam membekalkan maklumat berkaitan kajian dijalankan. 

Keputusan LCA ini melalui proses pengesahan dan diluluskan panel bertauliah antarabangsa terdiri daripada pakar pengamal LCA terkenal. 

Hasil kajian LCA ini boleh didapati dalam International Journal of LCA dan Journal of Oil Palm Research. Data inventori yang diterbitkan itu boleh digunakan sebagai rujukan oleh pihak industri sawit Malaysia dalam usaha pengurusan alam sekitar. 

Di samping itu, data dari kajian LCA dihantar ke organisasi seperti Joint Research Centre of the European Commission and the Environmental Protection Agency of the US bagi tujuan pengesahan dan kemampanan biodiesel sawit di peringkat global. Ini akan memberi ruang pemasaran yang luas bagi produk berkaitan biodiesel sawit. 

Sebagai contoh, hasil daripada salah satu kajian berkenaan, kumpulan penyelidik memperoleh cara memerangkap biogas menggunakan tangki digestor atau kaedah penutupan kanvas di kolam anaerobik sama ada dibakar (flaring) atau digunakan untuk menghasilkan tenaga berbanding kaedah biasa biogas terhasil itu dilepaskan ke udara secara meluas semasa pengolahan sisa buangan kilang sawit. 

Hasil kajian LCA itu mendapati berlaku pengurangan ketara terhadap pelepasan biogas ke udara dan secara tidak langsung mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan mencadangkan supaya semua kilang sawit memerangkap biogas bagi tujuan menjana tenaga elektrik sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui. 

Kini, ada 30 kilang sawit yang menjana tenaga elektrik dari biogas dan dijual kepada TNB/ SESB. 

Dalam industri minyak sawit, LCA memainkan peranan dengan menyediakan butiran terperinci terhadap kesan alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti dan proses sepanjang rantaian bekalan minyak sawit. Dengan maklumat LCA, industri boleh menjalankan proses pembaikan sepanjang rantaian bekalan untuk meningkatkan kemampanan industri sawit negara. 

MPOB turut memainkan peranan mempromosikan kesedaran alam sekitar dalam industri sawit negara melalui seminar, perkhidmatan, perundingan dan kursus bagi meningkatkan pengetahuan kepada semua industri sawit dan seterusnya mengamalkan pendekatan penilaian kitaran hidup sebagai alat yang dapat menyumbang kepada kemampanan industri sawit negara. 

0 comments:

Posting Komentar

Label

2011 News Africa AGRIBISNIS Agriculture Business Agriculture Land APINDO Argentina Australia Bangladesh benih bermutu benih kakao benih kelapa benih palsu benih sawit benih sawit unggul Berita Berita Detikcom Berita Info Jambi Berita Kompas Berita Padang Ekspres Berita Riau Pos Berita riau terkini Berita Riau Today Berita Tempo bibit sawit unggul Biodiesel biofuel biogas budidaya sawit Bursa Malaysia Cattle and Livestock China Cocoa Company Profile Corn corporation Cotton CPO Tender Summary Crude Palm Oil (CPO) and Palm Kernel Oil (PKO) Dairy Dairy Products Edible Oil Euorope European Union (EU) FDA and USDA Fertilizer Flood Food Inflation Food Security Fruit Futures Futures Cocoa and Coffee Futures Edible Oil Futures Soybeans Futures Wheat Grain HUKUM India Indonesia Info Sawit Investasi Invitation Jarak pagar Kakao Kapas Karet Kebun Sawit BUMN Kebun Sawit Swasta Kelapa sawit Kopi Law Lowongan Kerja Malaysia Meat MPOB News Nilam Oil Palm Oil Palm - Elaeis guineensis Pakistan palm oil Palm Oil News Panduan Pabrik Kelapa Sawit pembelian benih sawit Penawaran menarik PENGUPAHAN perburuhan PERDA pertanian Pesticide and Herbicide Poultry REGULASI Rice RSPO SAWIT Serba-serbi South America soybean Tebu Technical Comment (CBOT Soyoil) Technical Comment (DJI) Technical Comment (FCPO) Technical Comment (FKLI) Technical Comment (KLSE) Technical Comment (NYMEX Crude) Technical Comment (SSE) Technical Comment (USD/MYR) Teknik Kimia Thailand Trader's Event Trader's highlight Ukraine umum USA Usaha benih varietas unggul Vietnam Wheat